Keajaiban Hadis Lalat Mendahului Kajian Saintifik
Keajaiban Hadis Lalat Mendahului Kajian Saintifik
Pernahkah anda mendengar Hadith
Rasulullah SAW mengenai Lalat,di dalam sebuah hadith Baginda SAW
menjelaskan bahwa jika ada lalat yang jatuh ke dalam minuman, kita
hendaklah mencelupkan lalat tersebut sepenuhnya ke dalam minuman
kemudian membuangnya, kerana diantara salah satu sayapnya mempunyai
racun dan di sebelah sayapnya yang lain mempunyai penawar.
Hadis Lalat Dan Sains
Mengikut riwayat Bukhari dari Abu Hurairah, nabi bersabda, “Apabila
lalat terjatuh ke dalam bekas minum salah seorang antara kamu, celuplah
dan kemudian buanglah lalat itu kerana pada sebelah sayapnya
mengandungi penawar dan di sebelah sayapnya yang lain mempunyai
penyakit.” Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad,
Abu Daud dan Ibn Majah. Benarkah pada lalat terdapat punca-punca
penyakit serta penawar?
Lalat memang dikenali di seluruh dunia.
Pada tahun 1964, ahli-ahli sains mengenal pasti 80,000 spesies lalat di
seluruh dunia. Lalat rumah dikenali sebagai Musca domestica. Lalat ini
mudah ditemui di mana-mana termasuk di kepulauan Arab. Luther West dalam
buku The Housefly – Its Natural History, Medical Importance, And
Control, terbitan New York pada tahun 1951, menyatakan lalat jenis Musca
domestica banyak terdapat di kawasan Timur Tengah. Justeru, apabila
nabi bersabda tentang lalat, besar kemungkinan baginda sedang
menceritakan tentang lalat dari jenis ini.
Lalat buah atau fruit-flies yang kadang
kala dikenali juga sebagai lalat arak atau wine flies serta lalat cuka
atau vinegar flies, juga banyak terdapat di Timur Tengah. Jenis yang
agak terkenal daripada kumpulan ini ialah yang bernama Drosophila
melanogaster. Kajian di dalam bidang entomologi mendapati lalat jenis
ini jinak dengan manusia dan sering terdapat di kawasan buah-buahan yang
banyak berlaku proses fermentasi. Justeru, arak merupakan tarikan
kepada lalat jenis ini. Di samping itu ia juga menyukai suhu yang tinggi
seperti yang disebutkan oleh Harold Oldroyd dalam buku The Natural
History of Flies. Mekah dan Madinah mempunyai suhu yang tinggi.
Persekitarannya subur dengan pohon-pohon kurma dan anggur dan kedua-dua
ini digunakan untuk membuat arak. Minuman arak, apatah lagi di zaman
jahiliah, merupakan budaya hidup orang-orang Arab. Tidak akan meriah
sesuatu majlis tanpanya. Orang Arab begitu memuja arak hinggakan bahasa
arab mempunyai lebih kurang 250 kalimat yang melambangkan arak. Hal ini
disebutkan dalam Tafsir al-Azhar oleh Hamka. Ketika Islam datang arak
belum diharamkan. Islam hanya mengharamkannya selepas berlakunya hijrah
ke Madinah dan selepas diwajibkan ibadah solat. Justeru, persekitaran
yang seperti ini yang kaya dengan arak cukup sesuai untuk pembiakan
lalat Drosophila melanogaster.
Apa yang signifikan ialah, lalat
daripada kedua-dua jenis ini, iaitu Musca domestica dan Drosophila
melanogaster (terutamanya Drosophila melanogaster), menjadi bahan kajian
utama para ahli sains pada hari ini bertujuan untuk mengenali
penyakit-penyakit manusia serta penawar baginya. Justeru, fokus nabi
tentang lalat dalam konteks penyakit dan penawar, amat relevan dengan
isu kesihatan dan perubatan pada hari ini.
Lalat dan Penyakit
Sabda nabi yang bermaksud, “Pada sebelah sayapnya mengandungi penyakit,”
adalah satu pernyataan umum yang menunjukkan lalat merupakan agen
pembawa penyakit kepada manusia. Ia juga mengisyaratkan bahawa lalat
mengandungi banyak kuman yang memudaratkan. Sabda nabi ini hanya dapat
difahami pada abad-abad terkemudian. Pada tahun 1577, Mercurialis
melontarkan pandangan tentang kemungkinan lalat merupakan serangga
pembawa penyakit kepada manusia, tetapi pendapat ini tidak dapat
dikukuhkan dengan bukti. Hanya pada abad kesembilan belas sahaja kajian
yang mendalam dilakukan untuk mengesahkan perkara ini, contohnya, kajian
yang dilakukan oleh Profesor J. Leidy pada tahun 1871. Beliau yang
merupakan seorang pakar dalam bidang ilmu serangga atau entomologist
mendapati lalat adalah pembawa pelbagai kuman kepada manusia. Pada tahun
1929, H.Y. Yao, I.C. Yuan dan D. Huie mengkaji lalat-lalat di Beijing
dan mendapati luarannya mengandungi lebih kurang 3,683,000 kuman
bakteria dan dalamannya mengandungi 6-8 kali ganda kuman berbanding
luarannya. Hal ini disebutkan dalam buku Insect Immunology oleh Edward
A. Steinhaus terbitan New York.
Pada tahun 1912, risalah pendidikan
kesihatan di Amerika memperkenalkan lalat sebagai ‘serangga paling
berbahaya yang pernah dikenali manusia selama ini’. Lalat dikenal pasti
sebagai agen pembawa penyakit demam kepialu, taun, cirit birit, sakit
mata, dan banyak lagi.
Lalat Memiliki Penawar
Sabda nabi, “Dan pada sebelah sayap (lalat) ada penawar,”
menunjukkan, walaupun lalat ialah agen pembawa kuman serta penyakit,
namun tubuh lalat yang sama juga memiliki penawar serta bahan anti kuman
yang bermanfaat bagi manusia.
Hal ini disahkan oleh para saintis pada
abad ke-20. Sebagai contoh, Shope pada tahun 1927, dan Glaser 1938,
mendapati ada kuman-kuman virus dalam badan lalat yang berfungsi
membunuh kuman-kuman bakteria. Kajian ke atas lalat rumah Musca
domestica menunjukkan, ia mengandungi virus bacteriophage yang mampu
membunuh kuman-kuman Staphylococcus muscae, Escherichia coli, Salmonella
paratyphi dan Eberthella typhosa yang menjadi penyebab kepada penyakit
cirit birit dan demam kepialu. Inilah penemuan virus bacteriophage yang
pertama di dalam serangga dan ia merangsang kepada penemuan-penemuan
yang lain.
Sebelum itu, pada tahun 1926, J.I.
Duncan menemui bahan-bahan aktif pembunuh bakteria di dalam usus lalat
rumah. Pada tahun 1939 pula, Lal, Ghosal dan Mukherji mendapati lalat
mampu mengubah kuman taun vibrio cholera kepada bentuk yang lain yang
tidak berbahaya. Penemuan-penemuan ini dilaporkan dalam buku The
Housefly – Its Natural History, Medical Importance, And Control oleh
Luther West.
Penemuan sains pada abad ke-20 juga menyedarkan manusia tentang betapa benarnya sabda nabi yang bermaksud, “Celuplah lalat itu kerana pada sebelah sayapnya mengandungi penawar.”
Pusingan hidup lalat bermula dengan telur. Telur menetas dan
mengeluarkan larva, kemudiannya berubah kepada pupa dan kemudian barulah
menjadi lalat dewasa. Semua ini adalah proses yang perlu dilalui oleh
seekor lalat. Lalat di dalam bentuk larva (maggots) amat bermanfaat pada
manusia.
Sebagai contoh, M.A. Stewart, pada tahun
1934, mendapati lalat berbentuk larva, ketika ‘dicelupkan’ ke dalam
luka-luka, mengeluarkan bahan ammonia dan kalsium karbonat yang
menjadikan luka itu alkali. Di dalam keadaan ini kuman-kuman dapat
dibunuh di samping meredakan bengkak serta mencegah kematian sel-sel. Di
samping itu larva-larva ini berperanan menelan kuman-kuman bakteria dan
membunuhnya. S.W. Simmons pada tahun 1935 pula mendapati, lendir yang
dikeluarkan oleh larva mampu membunuh kuman-kuman bahaya seperti
Staphylococcus aureus, Haemolytic streptococci dan Clostridium welchii.
Tambahan daripada itu, pada tahun yang sama, W. Robinson mendapati larva
juga mengeluarkan allantoin. Allantoin merupakan bahan protein yang
membantu pertumbuhan sel-sel. Penemuan-penemuan ini dilaporkan dalam
buku Insect Immunology karangan Edward Steinhaus.
Penemuan-penemuan ini menjadikan larva
lalat begitu popular digunakan bagi merawat luka-luka terutamanya pada
tahun 1930-an. Walau bagaimanpun popularitinya mula menurun selepas
penemuan ubat-ubat antibiotik. Baru-baru ini, bermula tahun 1982,
penggunaan larva menjadi popular semula berdasarkan kajian-kajian
saintifik terkini. Hal ini dilaporkan oleh Fakulti Perubatan Universiti
Indiana di www.soundmedicine.iu.edu.
Sebagai contoh, ia dicadang untuk
digunakan bagi merawat luka disebabkan kencing manis. Hal ini dilaporkan
dalam jurnal Diabetes Health terbitan Mac 1995. Antara institusi
perubatan yang telah menggunakan pendekatan ini ialah Long Beach
Veterans Affairs Medical Center. Di Belanda pula pakar-pakar perubatan
melaporkan mereka berjaya merawat sebelas kes luka yang teruk dengan
menggunakan larva lalat. Kaedah ini berjaya mengawal infeksi kuman dan
menyelamatkan kes-kes ini dari pembedahan amputasi. Hal ini dilaporkan
dalam jurnal Clinical Infectious Diseases.
Kuasa penawar yang ada pada lalat memang
menakjubkan. Dalam sebuah buku karangan Dr. Ghyath Hasan al-Ahmad
bertajuk al-Tibb al-Nabawi fi Daw al-Ilm al-Hadith (Prophetic Medicine
in the Light of Modern Science) terbitan tahun 1955, dilaporkan tentang
satu eksperimen yang dilakukan oleh Dr. Nabîh Da’ish di Universiti Raja
Abdul Aziz di Riyadh. Beliau menyediakan sepuluh kultur bakteria
(bacterial cultures) dan dimasukkan seekor lalat ke dalamnya tanpa
dicelupkan lalat itu ke dalam kultur. Beliau kemudiannya menyediakan 10
lagi kultur bakteria dan dimasukkan serta dicelupkan lalat ke dalamnya
sebanyak sekali. Selepas itu disediakan pula lagi 10 kultur bakteria dan
pada kali ini lalat dicelupkan ke dalam kultur sebanyak dua kali.
Perbuatan ini disusuli dengan penyediaan 10 lagi kultur bakteria dan
lalat dicelupkan ke dalamnya sebanyak tiga kali. Dr. Nabîh Da’ish
mendapati kuman terus hidup dan membiak dalam kultur yang pertama yang
mengandungi lalat yang tidak dicelup. Dalam kultur yang kedua
kuman-kuman tidak mampu membiak malah sebahagiannya terbunuh dan
aktiviti antikuman ini meningkat dalam kultur ketiga dan keempat.
Penemuan ini menunjukkan pengeluaran bahan antikuman tertentu oleh lalat
ada perkaitan dengan perbuatan mencelup lalat ke dalam cecair. Ia
selari dengan sabda nabi yang disebutkan sebelum ini. (Untuk
perincian sila baca buku ‘Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden’
karangan Dr. Danial bin Zainal Abidin, terbitan PTS Publication).
Nukilan: Dr. Danial bin Zainal Abidin
Tidak ada komentar:
Posting Komentar