Mumia Firaun ( Ramses II ) Temukan Saintis Perancis Dengan Islam
PADA pertengahan tahun 1975, Perancis
yang ketika itu di bawah pemerintahan Presiden Francisco Mitterand
menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan
menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal.
Firaun yang dikatakan hidup di zaman
Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar
Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada
kekejamannya.
Mesir menyambut baik tawaran itu dan
membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris. Malah ketika sampai di sana
kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian.
Ini termasuklah apabila Mitterand dan
para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa
lalu di hadapan mereka.
Mumia itu kemudiannya diletakkan di
ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia bakal diperiksa
sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan
autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof.
Dr. Maurice Bucaille. (Gambar)
Bucaille seorang pakar bedah kenamaan
Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan
kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf
sebagai pakar di bidang gastroentorologi.
Ramai kerabat diraja dan keluarga
pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal
Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat.
Lalu kesempatan beliau untuk membedah
dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk
menguak misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.
Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan.
Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad
mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat
tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut,
‘dirawat’ segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet.
Namun penemuan itu menimbulkan persoalan
yang sangat besar kepada Dr. Bucaille. Bagaimana jasad tersebut masih
dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam
dan dikeluarkan daripada laut?
Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan
akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan
mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.
Laporan tersebut diterbitkan dengan
tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya;
Les Momies Des Pharaons Et La Midecine). Ekoran penerbitan laporan itu,
Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix
Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise
dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine,
Perancis.
Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru.
“Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya
umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas
dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!”
Namun kata-kata itu ditentang keras oleh
Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya
membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui
kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal
canggih yang mutakhir dan tepat.
Kisah Firaun dalam al-Quran
Hakikatnya Dr. Bucaille menjadi serba
salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan
dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya
Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan.
Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana
perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru
sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah ada di
tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya.
Sambil mata tidak lepas memandang mumia
Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya
bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya
diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu.
“Apakah masuk akal di hadapanku ini
adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal
Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa
dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara
hatinya sendirian.
Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang
di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut
saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun.
Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama
(Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: “Air (laut)
pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun,
menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh
bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan
diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan
kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15)
Dr. Bucaille sangat terkejut kerana
tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada
mayat Firaun selepas tenggelam itu.
Ini menjadikan beliau semakin kebingungan.
Apabila mumia dikembalikan semula ke
Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu
beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai
sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan
Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang
mereka.
Maka salah seorang mereka terus bangun
dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille
mendengarkannya sendiri:
“Maka pada hari ini Kami selamatkan
badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang
datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari
tanda-tanda kekuasaan Kami. (Yunus: 92).”
Apabila mendengar ayat ini, hati Dr.
Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat
itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta
dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi.
Lalu dengan hati yang begitu bergetaran
dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara
yang lantang berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan
al-Quran ini.”
Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran
dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan
menggali seluruh isi al-Quran.
Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku
yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah
diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible,
the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of
Modern Knowledge.
Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang
kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya
membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains
sementara kitab Injil adalah sebaliknya.
“Sains dan Islam umpama saudara kembar
yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai
kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti
itu ada dalam al-Quran.
“Al-Quran yang di dalamnya diceritakan
segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat
bertepatan dengan sains moden,” katanya.
Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah.
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
Wallahu’alam….
HasnulHadiAhmad.Com
HasnulHadiAhmad.Com
sumber: http://hasnulhadiahmad.com/mumia-firaun-ramses-ii-temukan-saintis-perancis-dengan-islam/
Tidak ada komentar:
Posting Komentar